Warkah Buat Anakanda 'Daku pulangkan anakku Jalil kepadaMU Ya ALLAH' | Pasti anda akan berlinangan air mata bila membaca warkah si ibu kepada anaknya iaitu RAJA ZARITH SOFIAH Permaisuri JOHOR kepada Anakandanya Almarhum Tengku Jalil. Sebelum baca sediakn tisu banyak-banyak.


RAJA ZARITH SOFIAH SULTAN IDRIS SHAH
PERMAISURI JOHOR
WARKAH buat anakku, Jalil:

Mama tahu, satu-satunya sebab Lil pergi ke hospital adalah kerana Lil menanggung kesakitan yang amat sangat. Lil sebenarnya hendak kekal tinggal di rumah: Lil telah terlalu kerap ke hospital.
Namun ALLAH S.W.T., Yang Maha Mengetahui, menempatkan Lil di sana agar kami, keluarga Lil, dapat meluangkan sebanyak masa bersama Lil.

Mama menyimpan seribu satu kenangan tentang Lil ketika Lil menghabiskan hari-hari terakhir Lil di dunia ini.
Mama terkenang satu ketika sewaktu Lil memejam mata dan air mata menitis di pipi Lil, semasa Lil cuba melawan kesakitan yang ditanggung.

Mama memegang tangan kiri Lil dan menangis. Mama mencuba sedaya upaya untuk menahan sedu sedan Mama dari kedengaran.

Mama fikir, Lil tidak nampak Mama menangis kerana mata Lil pejam. Tapi Lil tahu. Lil meletak tangan kanan Lil di atas tangan Mama dan menepuk-nepuk dengan perlahan, seolah berkata "Jangan menangis, Lil tidak apa-apa."

Mama ingat semua mesej pesanan ringkas yang Lil hantar kepada Mama. Bila Mama mengatakan bahawa Mama telah berdoa untuk Lil, Lil membalas dengan mengatakan bahawa Lil juga telah berdoa dan memohon kepada ALLAH S.W.T. biarlah Lil yang menanggung semua kebimbangan Mama.

Bila Mama melihat makam Lil, hati mama dipenuhi keperitan. Mama masih terbayangkan detik ketika Babah, abang dan adik Lil memenuhkan kubur dengan tanah sementara Boo dan Inah berdiri di sisi Mama. Mama memandang ke arah abang dan adik Lil, dan membilang hanya tiga anak lelaki.

Boo di sisi Mama. Anak lelaki Mama lima orang. Di mana anak mama yang lagi seorang? Dan Mama baru tersedar bahawa Lil yang tiada. Lil kini berada di bawah timbunan tanah itu.

Dan pada ketika itu, Mama menadah kedua tangan mama dan berbisik, "sesungguhnya dariMu kami datang, dan kepadaMu jua kami kembali. Daku memulangkan kepadaMU, Ya ALLAH, anakku."

Moga Lil ditempatkan bersama mereka yang soleh

sumber :sinar harian
.